Sarawak ID|Register

News

COVID-19: Semua individu 18 tahun ke atas perlu divaksin untuk keimunan gerompok - Dr Sim
Posted on : 24 Feb 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

KUCHING: Usaha memberikan vaksin 100 peratus bagi individu berusia 18 tahun ke atas di Sarawak adalah penting untuk mendapatkan keimunan gerompok (herd immunity) terhadap COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurut beliau, sekiranya tidak memberi vaksin 70 peratus daripada populasi, maka kita tidak mendapat keimunan gerompok atau perlindungan yang mencukupi untuk masyarakat. 

"Sarawak mempunyai kira-kira 30 peratus orang yang berusia kurang dari 18 tahun. Sekiranya anda mengambil kira angka tersebut, ia bermakna hampir 100 peratus orang berusia di atas 18 tahun perlu mendapat vaksin," ujar beliau dalam webminar 'Covid-19 Vaccination and The Impact on Sarawak Business' yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) hari ini. 

Dr Sim yang juga ahli penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan wabak yang melanda hampir setahun di negeri ini sejak kes pertama didiagnosis pada bulan Mac tahun lalu, telah mengakibatkan lebih dari 1,100 pesakit disahkan dijangkiti dan 19 orang meninggal dunia. 

Beliau juga memberi amaran bahawa Sarawak pada masa ini berada dalam tempoh paling berbahaya, dengan lebih daripada 6,000 orang didiagnosis positif dalam dua bulan pertama dan lebih banyak orang mati daripada keseluruhan tahun lalu.

"Jika kita dapat bertahan, tetap hidup dan mendapat vaksin menjelang Ogos, kita dapat mencegah lebih banyak kematian. 

"Marilah kita berusaha lebih kuat bagi mendapatkan 70 peratus penduduk untuk diberi pemvaksinan. Setelah itu, barulah kita dapat bercakap mengenai kembali ke kehidupan normal kita," katanya. 

Tambah Dr Sim, negeri akan melancarkan salah satu operasi terbesar pernah dilakukannya iaitu memberi vaksin 2.2 juta orang di Sarawak menjelang Ogos. 

Jelasnya, ia merupakan sebuah program bercita-cita tinggi yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat. 

"2.2 juta orang itu perlu diberi vaksin dua kali. Ia bermakna memvaksin 4.4 juta kali dan sekali gus memerlukan banyak kerja. 

"Justeru, kita memerlukan pemahaman orang ramai, selain memastikan orang menerimanya," katanya. 

Dalam pada itu, webinar tersebut menampilkan penceramah panel kurasi khas dari kerajaan, perubatan, perniagaan dan pelancongan, yang dikendalikan oleh Timbalan Presiden SBF, Datuk Philip Ting. 

Ahli panel lain termasuklah Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Ikhwan ; Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Prof Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; Pengerusi lembaga pengurusan Borneo Medical Centre (BMC) Dr. John Chew dan Presiden Lembaga Pelancongan Sarawak (STF) Audrey Wan Ullok. 

Antara beberapa isu yang dibincangkan adalah bagaimana perniagaan seperti pelancongan akan diteruskan di Sarawak setelah semua orang diberi vaksin, pelbagai bantuan yang diberikan kepada sektor perniagaan, dan kaedah penyelesaian lain untuk memulihkan ekonomi.

Useful Links