KUCHING: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) hari ini mengarahkan sebuah syarikat pemaju perumahan di sini membayar ganti rugi berjumlah RM112,524.62 kepada dua pembeli atas kelewatan menyerahkan rumah.
Presiden TTPRS Robert Elone Sireng berkata, bayaran perlu dibuat dalam tempoh 45 hari selepas mendapat surat penghakiman daripada tribunal.
“Untuk kes pertama, syarikat pemaju berkenaan diarahkan membayar RM47,108.22 dan RM33,276.24 kepada Pui Siew Kian atas kelewatan menyerahkan dua buah rumah dua tingkat yang dibeli di Jalan Arang dari pemaju yang sama.
“Manakala untuk kes kedua, tribunal mengarahkan syarikat pemaju yang sama membayar RM32,140.16 kepada Lee Shong Hock,” katanya pada sidang media selesai penghakiman kes di Mahkamah TTPRS hari ini.
Terdahulu Robert kelewatan penyerahan unit rumah ini adalah disebabkan pembeli rumah membuat perubahan pada bangunan yang mana dipersetujui oleh pemaju dan kesannya menyebabkan kelewatan.
“Kami (tribunal) tidak boleh mempertimbangkan hakikat bahawa pemaju bersetuju dengan perubahan yang dibuat oleh pembeli sehingga diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT). Jika pemaju bersetuju bukan salah pembeli,” katanya.
Ujar Robert lagi ada soalan dibangkitkan pemaju mengenai sama ada tuntutan difailkan dalam tempoh dibenarkan tribunal iaitu tidak lewat 12 bulan dari tarikh permit menduduki (OP).
“Kami mempertimbangkan perkara ini, dan kami membenarkan mereka (pembeli) untuk memfailkan tuntutan dengan memberikan mereka tambahan 55 hari disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi kedua-dua penuntut dibenarkan memfailkan tuntutan meskipun berdasarkan perjanjian tuntutan tersebut dibuat lebih daripada 18 bulan selepas OP dikeluarkan,” katanya.
Mengenai lima lagi kes tuntutan kelewatan melibatkan lima pembeli dan sebuah lagi syarikat pemaju perumahan di Jalan Depo di sini, Robert berkata kes tersebut diselesaikan di luar tribunal.
Sehubungan itu beliau berterima kasih kepada syarikat pemaju berkenaan atas kerjasama dan berharap pembeli akan segera menerima bayaran tuntutan seperti yang dipersetujui.