SARATOK: Seramai 32 orang Ahli Majlis Daerah Saratok telah mengangkat sumpah bagi penggal tahun 2023 hingga 2025 dengan 21 merupakan ahli majlis baharu dan 11 lantikan semula.
Majlis angkat sumpah telah diadakan Majlis Daerah Saratok pada Khamis dan dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil.
Daripada 32 orang kaunselor dilantik, seramai 16 orang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), lapan dari Parti Demokratik Progresif (PDP), lima dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan tiga dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Dalam ucapannya, Datuk Dr Penguang menegaskan para kaunselor berperanan membantu untuk membangunkan kawasan serta mendapatkan maklumat dari peringkat akar umbi.
Selain itu katanya, mereka juga turut bersama dalam menjayakan program serta aktiviti yang dianjurkan pihak Majlis tempatan dan digesa agar terus bekerja keras dalam meneruskan legasi sebelum ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Saratok Liam Entili dan wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak Nasseruddin Abdul Jabar. – EDISI UKAS