picture

News

 

SDG berperanan penting dalam pembangunan bandar, luar bandar

Posted on 13 Oct 2022
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Matlamat pembangunan mampan (SDG) memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan bandar dan luar bandar, kata Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata pembangunan urbanisasi menyebabkan pertumbuhan tertumpu di kawasan bandar dan ia akhirnya akan membawa kepada perubahan gaya hidup dan alam sekitar.

“Saya amat gembira Datuk Seri Reezal Merican daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (persekutuan) melancarkan Agenda Bandar Raya Berdaya Huni dengan menetapkan Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) untuk diamalkan oleh pihak berkuasa tempatan di negara ini.

“Ketika kita bergerak ke hadapan, ini adalah cara utama untuk mengukur apa yang boleh didiami dan ini adalah sebahagian daripada SDG menjelang 2030,” katanya berucap merasmikan Pelancaran Program Jaringan Petunjuk Pembangunan Mampan Bandar, Luar Bandar Malaysia (MURNInets) di sini, hari ini.

Mengenai MURNInets, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, program berkenaan mampu menyediakan platform pintar yang dipertingkatkan untuk menyusun strategi jenis pembangunan di kawasan tertentu sambil dapat mengukur keberkesanannya melalui penyertaan rakyat dalam tinjauan.

"Ia adalah liputan yang sangat komprehensif mengenai ekonomi, pembangunan mampan, kesihatan, komuniti, penggunaan tanah, infrastruktur yang cekap, pengangkutan dan sebagainya," katanya.

Selain itu kata beliau, agensi kerajaan boleh mempelajari semula dan mereka bentuk semula produk dan perkhidmatan yang mereka berikan, berdasarkan maklum balas.

Bagaimanapun katanya, ini tidak boleh dicapai tanpa kerjasama erat antara agensi apabila beberapa data dimiliki agensi lain.

Beliau dengan itu menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan data yang berada dalam skop kawasan masing-masing membuat input yang diperlukan.

“Kita perlukan kerjasama semua orang. Kita sudah mempunyai antara muka (interface) dan kini memerlukan kerjasama antara agensi untuk melakukan kerja supaya kita dapat memiliki semua ini,” katanya.

Beliau berkata penggunaan MURNInets akan memastikan Sarawak dibimbing apabila ia merancang meningkatkan daya huni kawasan pihak berkuasa tempatannya.

Majlis dihadiri Ketua Pengarah PLANMalaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Dr Alias Rameli dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Antonio Kahti Galis.



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 08 Apr 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement