picture

News

 

Semua Kanselor MPS Digesa Turun Padang, Ambil Tahu Keperluan Komuniti

Posted on 03 Apr 2023
Source of News: UKAS

SIBU: Semua Ahli-Ahli Majlis atau kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) digesa agar sentiasa turun padang dengan melakukan libat urus bersama komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.  

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian berkata penglibatan ini akan membolehkan kaunselor mengetahui apa keperluan rakyat di setiap kawasan di bawah pentadbiran mereka.

Ujarnya, kaunselor juga perlu memainkan peranan membawa manfaat kepada rakyat di masa hadapan melalui polisi dan perancangan yang mereka laksanakan.

“SMC dan kaunselor boleh melakukan sesuatu bukan hanya untuk memenuhi keperluan mereka sekarang.

“Tetapi mereka juga boleh memberi manfaat kepada komuniti di masa hadapan melalui polisi, perancangan dan peraturan yang dilaksanakan,” katanya berucap selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bagi penggal 2023-2025 pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menegaskan kepada kaunselor MPS agar memahami dasar ‘Bandar Tanpa Karbon’ yang diketengahkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk membolehkan mereka merangka polisi membangunkan bandar baru Sibu.

Menyentuh perkara lain, Dr Sim menjelaskan bangunan baru MPS yang akan dibina dilengkapi dengan pelbagai fasiliti untuk manfaat komuniti.

“Kita mahu memastikan bangunan pihak majlis menjadi tempat untuk masyarakat kita memanfaatkan fasiliti seperti ruang teater, perpustakaan, ruang untuk orang ramai menjual produk mereka dan sebagainya.

“Kita berharap bangunan MPS akan menjadi seperti di Miri, orang ramai boleh ke tingkat atas bangunan tersebut sambil melihat keindahan bandar raya Miri,” ujarnya.

Dr Sim juga mengingatkan setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang kepentingan awam yang menggalakkan dan melindungi kesihatan orang ramai serta komuniti tempat mereka tinggal, belajar, bekerja dan bermain.

“Sebagai contohnya mengenai rabies, saya menasihatkan orang ramai supaya memberi vaksin kepada anjing peliharaan mereka.

“Jika digigit anjing, pergi segera ke hospital untuk mendapatkan vaksin kerana ia boleh mengurangkan kemungkinan kematian akibat penyakit itu. Ini kerana vaksinasi mempunyai 99.9 peratus kemungkinan anda tidak akan mati akibat rabies,” tambahya lagi.

Terdahulu, selepas mengangkat sumpah sebagai pengerusi MPS bagi penggal 2023-2025, Kaunselor Clarence Ting Hing Horh berazam akan memberi komitmen tinggi menjadikan bandar Sibu lebih bersih dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, fokus masih diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur asas iaitu jalan dan longkang selain memberi tumpuan kepada kebersihan di Sibu.

“Di Taiwan keadaan tandas sangat bersih. Sebab itu, untuk dua tahun akan datang, saya harap kita dapat bekerja sebagai sebuah pasukan meningkatkan mutu kebersihan tandas di Sibu bukan sahaja melibatkan tandas awam, malah tandas di semua kedai makan dalam kawasan pentadbiran kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa MPS akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kedai makan yang terus membuang air buangan tidak ditapis ke dalam longkang yang menyebabkan parit tersumbat.

Clarece juga berharap pembesaran Jalan Wawasan dan Jalan Aman dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di kedua-dua jalan tersebut.

Turut mengangkat sumpah dalam majlis tersebut Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Dato’ Roseley dan 32 ahli majlis yang lain bagi penggal sama.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Elizabeth Loh dan Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting. – EDISI UKAS


 


Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 08 Apr 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement