picture

News

 

Angkat sumpah ahli MDLBS tampil 12 muka baharu

Posted on 04 Apr 2023
Source of News: Utusan Sarawak

SIBU: Seramai 31 ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah mengangkat sumpah bagi sesi 2023-2025, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 19 merupakan pelantikan semula ahli majlis dan 12 lagi adalah pelantikan ahli majlis baharu.

Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis, MDLBS itu yang berlangsung di bilik mesyuarat MDLBS, Tingkat 18 Wisma Sanyan, telah disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Upacara angkat sumpah tersebut dimulakan dengan Pengerusi MDLBS, Sempurai Petrus Ngelai, diikuti oleh timbalannya, Kaunselor Wong Ching Yong.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam ucapannya menyeru semua ahli majlis supaya menjalinkan kerjasama yang erat dengan agensi kerajaan seperti Syarikat Sesco Berhad dan Jabatan Saliran dan Pengairan untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Walaupun penyelenggaraan lampu jalan tidak terletak di bawah bidang kuasa MDLBS, tetapi masyarakat lebih cenderung untuk membawa isu itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Begitu juga dengan jalan raya, apabila orang ramai mempunyai sebarang masalah, mereka sentiasa datang kepada ahli majlis.

“Oleh itu, amat penting bagi ahli majlis bekerjasama dengan agensi kerajaan kerana ia adalah sebahagian daripada Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berharap MDLBS terus berjiwa rakyat kepada penduduk di bawah bidang kuasanya.

“Kita mesti pastikan masyarakat di bawah MDLBS mengenali ahli majlis bagi kawasan mereka. Kami di sini untuk berkhidmat dan menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, Residen Bahagian Sibu, Wong Hi Sieng serta yang lain.



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 08 Apr 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement