News

 

Lebih baik Sarawak laksana projek sekolah, klinik

Posted on 04 Jul 2023
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Sarawak berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melaksanakan projek pembinaan sekolah dan klinik di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil  berkata, perkhidmatan sedemikian disediakan oleh kerajaan tempatan di Sarawak seperti termaktub di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1948.

Bagaimanapun selepas pembentukan Malaysia pada 1963 ujarnya, kedua-dua perkara tersebut berada di bawah kerajaan persekutuan dan kekal sehingga kini.

“Namun di bawah inisiatif baharu kerajaan, kita telah berbincang berulang kali untuk mengembalikan semula kuasa autonomi khususnya dalam pendidikan dan kesihatan.

“Ini kerana kita berpendapat bahawa Sarawak akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membina sekolah dan klinik di kawasan yang memerlukannya,” kata beliau.

Penguang berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada Majlis Penutupan Seminar Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan memainkan peranan untuk bergerak ke hadapan seiring dengan hala tuju dan polisi kerajaan.

“Justeru, mereka perlu mempunyai perancangan yang teratur dan rapi dalam mencapai matlamat tersebut.

“Malah sebagai kaunselor, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan komputer sebagai persediaan ke arah ekonomi digital,” kata Penguang.

Sementara  itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Elizabeth Loh mengingatkan ahli majlis pihak berkuasa tempatan agar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

“Ahli majlis pihak berkuasa tempatan adalah penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Jika mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, ia sekali gus mencerminkan imej kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, Datuk Bandar Miri Adam Yii, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak Datu Lau Hieng Ung.



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 17 May 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
Polls
Announcement