News

 

Kertas Putih beri autonomi, tingkatkan taraf kesihatan di Sarawak – Michael Tiang

Posted on 19 Jun 2023
Source of News: TVS

SIBU, 19 Jun: Kelulusan Kertas Putih Kesihatan akan memberi hak autonomi kesihatan awam di Sarawak, demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee.

Katanya, menerusi Kertas Putih ini, Sarawak akan mempunyai hak untuk membuat keputusan yang melibatkan kesihatan termasuk peruntukan dan cara membangunkan sektor kesihatan di Sarawak.

“Kertas Putih ini bukan sahaja direka dan digubal oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di peringkat persekutuan, tetapi juga hasil dari rundingan dari negeri-negeri. Ia mengandungi perkara yang diperlukan Sarawak dalam perkhidmatan kesihatan awam.

“Oleh itu, kita memuji kelulusan kertas putih ini kerana secara perlahan-lahan ia akan mengembalikan autonomi negeri untuk membuat keputusan tertentu berkaitan kesihatan, peruntukan dana dan inisiatif untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas acara Sambutan Konvoi Kembara Merdeka di Pasar Sentral Sibu, hari ini.

Tiang yang juga ADUN Pelawan berkata kelulusan Kertas Putih Kesihatan akan melihat keperluan Sarawak dalam sektor kesihatan yang tidak dapat dikesan berdasarkan rekod dari persekutuan.

“Misalnya, di peringkat persekutuan ada laporan yang mengatakan jumlah doktor di Sarawak melebihi keperluan, tetapi di peringkat negeri nisbahnya masih kurang iaitu negeri ini memerlukan ramai doktor dan jururawat. Inilah kelebihannya bila Kertas Putih diluluskan,” ujarnya.

Michael Tiang optimis menerusi Kertas Putih, Sarawak berupaya meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam di kawasan di kawasan luar bandar.

“Kita boleh membantu dari sudut menaik taraf dan memperbaiki klinik kesihatan yang usang agar taraf kesihatan di luar bandar dapat dipertingkatkan,” ujarnya.

Dewan Rakyat meluluskan Kertas Putih Kesihatan dengan undi majoriti pada 15 Jun.

Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera. – TVS



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 17 May 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
Polls
Announcement