KUCHING, 19 Feb: Sarawak menyokong cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan kawasan khas merokok bagi premis makanan di kawasan sempit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perkara itu bukanlah baharu kerana sudah dipraktikkan sejak larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.
Kata beliau, undang-undang itu juga telah wujud sebelum COVID-19 kerana terdapat kedai kopi yang menyediakan sudut untuk perokok.
“Namun begitu, selepas COVID-19 melanda negara, orang ramai (seolah-olah) lupa dan kembali kepada tabiat asal.
“Kini, kita cuma mahu kembali melaksanakan apa yang sudah dikuatkuasakan sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Amalan Patologi Ginekologi dan Sitopatologi 2024, di sini, hari ini.
Pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya wsedang mempertimbangkan cadangan itu susulan premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
Dr Dzulkefly menegaskan, langkah itu bukanlah satu langkah mengundur ke belakang sebaliknya bagi memastikan larangan merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan terus dipatuhi.
Mengulas lanjut, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak mengakui sektor kesihatan negara berdepan cabaran dalam menguatkuasakan langkah itu meskipun ia sudah lama diperkenalkan.
“Kita dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersama melaksanakan ia, tiada yang baru, hanya kembali untuk menguatkuasakannya semula. Pada asasnya ia menunjukkan penguatkuasaannya sentiasa berdepan kesukaran,” ujarnya. -TVS