News

 

Dapatkan autonomi kesihatan secepat mungkin: Dr Sim

Posted on 07 May 2024
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Sarawak perlu mendapatkan autonomi kesihatan secepat mungkin bagi memastikan khidmat penjagaan kesihatan meliputi semua aspek di negeri ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, oleh sebab itu, pentingnya autonomi diberikan sepenuhnya kepada Sarawak dalam memastikan tugas berkaitan bidang itu dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurutnya, beliau mengambil maklum mengenai isu di mana seorang pesakit di Bintulu perlu menunggu selama 120 minit di kaunter pendaftaran.

"Tempoh masa 120 minit itu tidak boleh diterima namun kita perlu mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

"Ini adalah satu lagi sebab mengapa kita mahukan autonomi kesihatan diserah sepenuhnya kepada Sarawak bagi memastikan semua aspek berkaitan kesihatan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Ini termasuk infrastruktur hospital, sumber manusia dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas selesai Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan tetamu yang lain.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, beliau pada sidang DUN kali ini akan menyatakan anggaran kasar jumlah klinik dan hospital usang di negeri ini.

"Anda fikir bahawa sekolah usang memerlukan wang yang banyak bukan? Namun, klinik usang dan hospital usang lebih kurang tiga kali ganda daripada itu (sekolah usang). 

"Oleh itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat baik hati untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyerahkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Sarawak menyelesaikan butirannya (autonomi kesihatan).

"Dengan adanya autonomi itu, ia membolehkan kerajaan negeri menguruskan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan dengan baik," ujarnya.



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 16 Jun 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement