News

 

Majlis tempatan barisan hadapan perangi rasuah, kekal kepercayaan rakyat – Dr Sim

Posted on 25 Jul 2024
Source of News: TVS

KUCHING, 24 Julai: Majlis tempatan merupakan barisan hadapan untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat dan kepentingan mekanisme memerangi rasuah dalam kalangan warga kerjanya, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak, menurut beliau komited memupuk budaya integriti untuk kesejahteraan rakyat.

Dr. Sim berkata laporan berkaitan kes salah guna kuasa, rasuah dan kurang telus kini semakin meningkat terutamanya membabitkan projek pembangunan untuk rakyat membimbangkan hasil laporan statistik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Statistik SPRM menunjukkan bagi tahun 2023 dan enam bulan pertama 2024, jumlah tangkapan bagi kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam masing-masing ialah 437 orang (38 peratus) dan 319 orang (44 peratus).

“Malaysia mempunyai kira-kira 1.5 juta penjawat awam dan walaupun angka penangkapan itu adalah rendah tetapi haruslah menjaga reputasi perkhidmatan awam serta memastikan semua tindakan mematuhi piawaian integriti tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Integriti Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak di Wisma SABATI di sini hari ini.

Turut hadir timbalan-timbalan menterinya Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Datuk Dr Pengguang Manggil serta Setiausaha Tetap MPHLG Elizabeth Loh.

Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menambah kepentingan teknologi dalam meningkatkan ketelusan yang merujuk kepada kemajuan dalam transaksi digital sebagai cara untuk mengurangkan amalan rasuah dengan mengambil contoh Kerajaan China melaksanakan pembayaran digital sebagai model untuk memastikan setiap transaksi adalah telus dan dapat dijejaki.

Bukan itu sahaja, beliau juga menekankan kemakmuran kewangan Sarawak dan kepentingan mengekalkan reputasinya dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang pesat dan menggariskan sumbangan besar inisiatif seperti kilang metanol di Bintulu yang dijangka menjana USD3 bilion setiap tahun.

“Kompleks Metanol Sarawak dapat menghasilkan lima ribu tan metrik dan satu tan berharga USD350. Jika 365 hari, berapa kita peroleh hasil daripada loji tersebut? Sarawak memperoleh USD3 bilion setiap tahun.

“Sudah tentunya ia akan membawa pulangan yang lumayan kepada Sarawak tetapi kita perlu memastikan proses kita kukuh untuk mengelakkan sebarang kebocoran dan mengekalkan kemakmuran kita,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru peningkatan berterusan mekanisme integriti dan pendidikan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan landskap yang berubah.

Dr. Sim turut menggesa rakyat Sarawak untuk memainkan peranan mereka dalam membentuk Sarawak yang makmur.

Pada majlis itu juga, MPHLG serta agensi-agensi kementerian melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disaksikan oleh Dr. Sim dengan berikrar akan mematuhi sepenuhnya undang-undang, peraturan, prosedur serta dasar-dasar negara yang berkaitan dengan pencegahan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. – TVS



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 06 Sep 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement