picture

News

 

Ahli-Ahli Majlis Pastikan Polisi Kerajaan Dilaksanakan Di Peringkat Akar Umbi

Posted on 06 Apr 2023
Source of News: UKAS

SIMUNJAN: Ahli-Ahli Majlis memainkan peranan penting dalam memastikan polisi kerajaan Sarawak dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi. 

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, lantikan ahli-ahli majlis ini membawa makna dan tanggungjawab yang begitu besar kepada diri mereka serta rakyat.

“Di Malaysia ini, kita ada tiga kriteria pentadbiran kerajaan iaitu, kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Ahli Majlis pula memainkan peranan begitu penting dalam melaksanakan apa jua polisi, projek dan program yang telah diamanahkan kepada majlis-majlis di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan pada Khamis. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menambah, Ahli-Ahli majlis juga merupakan wakil ADUN di peringkat akar umbi bagi tiap-tiap kawasan dan menjadi jambatan di antara kerajaan dengan rakyat.

“Maksudnya, apa jua rintihan, isu yang didapati di peringkat akar umbi, anda mestilah membawanya kepada wakil rakyat dan juga kerajaan negeri Sarawak.

“Begitu juga apa-apa jua polisi yang telah digubal oleh kerajaan negeri Sarawak, anda bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada rakyat di peringkat akar umbi dan janganlah ambil ringan tugas sebagai ahli majlis,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Dr. Penguang juga menyeru kepada pihak Majlis Daerah Simunjan untuk membuat inisiatif yang lebih luas dengan berfikir di luar kotak kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk masa-masa akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, Seroji Ludin yang juga Pegawai Daerah Simunjan mengangkat sumpahnya sebagai Pengerusi MDS yang baharu, diikuti 31 orang mengangkat sumpah sebagai ahli-ahli majlis yang daripadanya 16 adalah muka baharu. 

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan ADUN Simunjan, Awla Dris.-EDISI UKAS



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 24 Mar 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement