picture

News

 

32 ahli majlis termasuk 10 muka baharu angkat sumpah di MDS

Posted on 03 Apr 2023
Source of News: Utusan Sarawak

SARIKEI: Seramai 32 ahli Majlis Daerah Sarikei (MDS) termasuk 10 muka baharu mengangkat sumpah bagi tempoh 2023-2025.  

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis, MDS 2023 yang berlangsung di Council Chamber, Tingkat 3, MDS, hari ini. 

Upacara angkat sumpah dimulakan dengan Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng dan seterusnya disusuli oleh timbalannya, Kaunselor Misiah Abu Seman serta ahli-ahli majlis. 

Selesai upacara angkat sumpah, barisan baharu ahli MDS melafaz ikrar bebas rasuah. 

Sementara itu, dalam ucapanya, Kaunselor Wong Zee Yeng berkata daripada 32 orang ahli majlis, 10 orang merupakan muka baharu dan selebihnya 22 orang adalah yang dilantik semula. 

“Semua ahli majlis merupakan lantikan daripada empat komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Seramai 11 orang mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), 10 orang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tujug orang Parti Demokratik Progresif (PDP) dan empat orang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS),” katanya. 

Tambahnya, pelantikan tersebut bukan hanya satu penghormatan, tetapi ia datang dengan amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul. 

“Amanah dan tanggungjawab ini perlu kami pikul dan laksanakan secara professional dan berintegriti bagi memastikan penyampaian perkhidmatan adalah yang terbaik selaras dengan aspirasi dan espektasi kerajaan serta rakyat. 

“Oleh itu, kami ahli-ahli majlis akan sentiasa peka dan bersedia menjadi pemudahcara antara rakyat, kerajaan dan Majlis khasnya dalam memastikan dasar dan polisi yang digubal serta dilaksanakan adalah demi kebaikan bersama di bawah pentadbiran Majlis. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mantan ahli-ahli majlis di atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan sehingga kita beroleh beberapa kejayaan,” ujarnya. 

Katanya, MDS mendapat Anugerah Rakan Strategik sempena Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2022 dan salah satu Majlis Daerah di Sarawak yang mendapat pengiktirafan 5 Bintang dalam Sistem Penarafan Bintang PBT 2022. 

Di majlis sama, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyerahkan sijil penghargaan kepada mantan ahli-ahli majlis. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak II Micheal Tiang Ming Tee, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Elizabeth Loh dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohamad Lofti Tuah.


 


Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 24 Mar 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement