News

 

Penjawat awam perlu berintegriti, berdisiplin tinggi

Posted on 25 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Salah faham orang ramai terhadap prosedur perolehan tender dan sebut harga bagi projek kerajaan sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada imej perkhidmatan penjawat awam.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ini merupakan antara aduan yang banyak diterima selain berkaitan pemberian tender atau perkhidmatan projek dengan pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek tersebut.

“Saya percaya aduan ini berlaku pertama, disebabkan salah faham orang ramai terhadap prosedur perolehan seperti melalui tender dan sebut harga untuk projek atau perkhidmatan. 

“Kedua adalah disebabkan kepentingan peribadi pegawai yang menguruskan projek atau perkhidmatan yang membawa kepada rasuah. 

“Perkara ini berlaku apabila penjawat awam mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kementerian, agensi atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengutamakan kepentingan peribadi sehingga melanggar undang-undang, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikian Hari Integriti Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertemakan ‘Tatakelola Baik Aspirasi Bumi Kenyalang’ di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Datuk Michael Tiang.

Bagi menyelesaikan isu ini secara holistik, Dr Sim mengingatkan setiap penjawat awam untuk sentiasa berintegriti, menanam tahap disiplin yang tinggi dalam diri dan peribadi yang baik semasa menjalankan tanggungjawab mereka.

“Selain itu, komitmen pengurusan boleh juga ditunjukkan melalui pengisytiharan kepentingan dan kerahsiaan semasa mengadakan mesyuarat yang melibatkan projek atau perkhidmatan.

“Saya percaya ini telah diamalkan oleh semua pihak dalam kementerian, agensi dan PBT. 

“Malah saya yakin setiap pegawai di kementerian kita tidak terlibat dalam kes sedemikian dan telah menjalankan tugas mereka dengan tekun dan amanah,” tegasnya.

Bagaimanapun, Dr Sim menggesa semua pihak untuk tidak memandang remeh mengenai isu rasuah sebaliknya bersama memainkan peranan dalam menangani hal ini. 

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau berkata ia merupakan komitmen penting untuk kementeriannya yang mempunyai tanggungjawab untuk menyelia serta memantau tiga agensi utama iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (SSD) dan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) serta 26 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

“Setiap agensi dan PBT kita mempunyai peranan masing-masing, terutama dalam pelaksanaan projek pembangunan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, setiap daripada kita memikul tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dengan integriti yang teguh, dedikasi dan ketelusan untuk menjadi tonggak tadbir urus yang baik. 

“Ia merangkumi kejujuran, akauntabiliti dan pematuhan kepada standard etika dalam semua tindakan dan keputusan. 

“Bukan sekadar satu kebajikan tetapi keperluan asas yang memastikan kepercayaan dan keyakinan awam terhadap institusi kita,” ujarnya.
 



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 06 Sep 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement