News

 

MPHLG komited tangani projek sakit Taman Greenwoods

Posted on 13 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak telah mengadakan sesi libat urus bersama pemaju dan pembeli rumah untuk menangani isu kelewatan projek pembangunan Taman Greenwoods di Lot 740, Blok 5, Matang Land District di sini. 

Menurut satu kenyataan hari ini, sesi itu diadakan pada 11 November 2024 untuk mengenal pasti punca kelewatan bagi memastikan projek ini dapat diteruskan dengan lancar, sekali gus melindungi kepentingan 29 pembeli rumah yang terjejas. 

Jelasnya, sesi itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan) Datuk Michael Tiang Ming Tee serta turut dihadiri Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai dan pegawai lain.

Untuk rekod, projek perumahan swasta yang dibangunkan oleh pemaju Ganda Hasrat Holdings Sdn Bhd itu dikenal pasti sebagai projek sakit sejak 2021 dan ditangguhkan selama kira-kira lapan tahun dari jangkaan siap pada 2016.

Projek itu terdiri daripada 24 unit separa berkembar setingkat dan 51 unit teres setingkat. 

Sehubungan itu katanya, semasa sesi tersebut, MPHLG membentangkan dan menerangkan perkembangan semasa bagi projek pembangunan perumahan terbabit dengan menyatakan bahawa pemaju telah menerima Road Completion Certificate dikeluarkan oleh MPP.

Jelasnya, MPP juga telah memaklumkan kepada pembeli yang hadir mengenai keperluan yang perlu dipatuhi oleh pemaju untuk mendapatkan Permit Menduduki (OP).

Pembeli rumah katanya, turut menyuarakan kebimbangan berkaitan pembangunan dan menekankan harapan tinggi bahawa pemaju akan mematuhi semua keperluan diperlukan untuk mempercepatkan pengeluaran OP dan membolehkan mereka berpindah ke rumah yang telah lama dinantikan.

Tiang bagaimanapun menjelaskan bahawa keperluan kawal selia dan teknikal masih perlu dipenuhi.

Menurutnya juga, adalah penting untuk memastikan penyerahan rumah kepada pembeli dilakukan dengan selamat dan mengikut semua peraturan yang diperlukan. 

Tiang kemudiannya menegaskan bahawa agensi kerajaan akan menyokong sebarang penyelesaian berdaya maju yang dicadangkan oleh pemaju untuk mempercepatkan penyiapan projek itu. 

MPHLG ujarnya, turut memberi jaminan kepada semua pembeli rumah Taman Greenwoods yang terjejas bahawa kerajaan kekal komited dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang timbul dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak terlibat untuk mencapai hasil positif.



Copyright © 2022 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 05 Dec 2024

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement