News

 

Ahli Majlis Daerah Sebuyau Baharu Perlu Selaraskan Diri Dengan Agenda Pembangunan Sarawak

Posted on 16 May 2025
Source of News: UKAS
KUCHING: Semua Ahli Majlis Daerah Sebuyau yang baharu perlu segera menyesuaikan diri dengan agenda pembangunan kerajaan Sarawak, terutamanya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia akan memberi impak besar dalam memperkemas perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Sebuyau secara lebih efektif dan terselaras.

"Kita sekarang mempunyai majlis daerah baru dan ini akan dapat juga seterusnya membantu perancangan dan pelaksanaan projek-projek di kawasan Sebuyau dengan lebih berkesan lagi.

"Cuma kita perlu melihat dari segi dasar kerajaan Sarawak yang ada pada hari ini dan panduan utama iaitu segi agenda Kerajaan Sarawak yang mempunyai PCDS 2030 di mana kerajaan nak membangunkan enam sektor ekonomi untuk membawa Sarawak ke tahap berpendapatan tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Sebuyau Bagi Tahun 2025 Hingga 2028 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu turut menekankan bahawa pembangunan di kawasan Sebuyau dan daerah-daerah berhampiran perlu diselaraskan secara menyeluruh bagi memastikan keberkesanan di peringkat pelaksanaan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan keperluan untuk memperkukuhkan struktur pentadbiran daerah dengan penambahan pegawai yang mencukupi.

"Jadi, ini merupakan pembangunan yang perlu kita laksanakan bagi daerah Sebuyau, selain daripada daerah-daerah lain yang berdekatan. Kerana kita dapati bahawa ianya mesti diselaraskan dengan berkesan. Dan untuk menyelaras di tapak lapangan, kita perlu pentadbiran yang berkesan.

"Kita perlukan Pegawai Daerah kerana dulu seorang sahaja, maka kita perlukan seorang Pegawai Daerah dan pegawai-pegawai yang lain yang berkaitan," ujarnya.

Jelasnya, Ahli Majlis Daerah Sebuyau perlu proaktif terutamanya pembangunan pesat yang dijalankan di kawasan tersebut seperti pembangunan gentian optik, penaiktarafan infrastruktur elektrik, pembangunan bandar baharu Sebuyau, projek perumahan sekitar Masjid Al-Muflihin serta kawasan pasaran baharu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohammad Shafizan Kepli; Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff; wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Nasserudin Abdul Jabbar; wakil Residen Bahagian Samarahan, Anuar Da'an; Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 31 Oct 2025

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement