Pada 16 Mei 2025 (Jumaat), Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) telah mengadakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis yang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama MDMD. Seramai 28 Ahli Majlis, terdiri daripada gabungan muka baharu dan yang berpengalaman, telah mengikrarkan sumpah mereka untuk memikul tanggungjawab memajukan kawasan Matu dan Daro demi kesejahteraan rakyat.
Majlis bacaan ikrar ini didahului oleh Pegawai Daerah Tanjung Manis, Encik Ismail bin Kasah selaku Pengerusi MDMD, manakala Encik Kr Rudy bin Suip telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Turut hadir bagi menyaksikan upacara angkat sumpah ialah YB Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan), yang mewakili kementerian berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan daripada Pengerusi MDMD serta ucapan amanat oleh YB Datuk Michael Tiang Ming Tee. YB Tuan Ir. Haji Yusuf bin Abd Wahab, Ahli Parlimen P206 Tanjung Manis; Sr Salena binti Sulaiman, Pegawai Penilaian W12 yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak; dan Encik Mohamad Shukurdi bin Tazen, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang mewakili YB Datuk Haji Len Talif Salleh (N41 Kuala Rajang) turut hadir bagi menzahirkan sokongan padu pihak kerajaan persekutuan dan negeri terhadap usaha meningkatkan mutu perkhidmatan tempatan.
Dengan tertubuhnya barisan Ahli Majlis yang baharu, MDMD komited meneruskan inisiatif pembangunan infrastruktur, kebajikan komuniti dan program kesihatan awam. Semoga pemimpin yang terpilih dapat bekerjasama erat dengan warga setempat bagi menjayakan aspirasi serta memenuhi keperluan rakyat Matu dan Daro.