News

 

VLR Bantu Sarawak Kenal Pasti Jurang, Tambah Baik Kawasan Seliaan PBT

Posted on 21 Jun 2025
Source of News: UKAS
KUCHING: Pelaksanaan Laporan Tempatan Secara Sukarela (VLR) yang berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Sarawak bukan sekadar untuk menunjukkan kedudukan semasa wilayah ini berbanding tempat lain, tetapi yang lebih penting adalah mengenal pasti jurang dan merancang penambahbaikan secara telus dan berfasa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan ini mencerminkan keikhlasan Kerajaan Sarawak untuk menilai secara objektif kekuatan dan kelemahan yang wujud, serta berusaha memperbaikinya demi kesejahteraan rakyat.

“Melalui VLR, kita dapat mengenal pasti apa lagi yang perlu kita lakukan, apakah jurang yang perlu kita atasi, dan semua perkara ini sebenarnya menunjukkan keikhlasan kita, bahawa kita ingin tahu dan seterusnya kita mahu melakukan penambahbaikan berdasarkan data berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan URBANICE Malaysia bagi penyediaan laporan VLR di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Datuk Amar Profesor Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, pelan hala tuju pembangunan mampan yang dirancang akan dilaksanakan secara khusus mengikut keperluan di peringkat bandar raya, majlis tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pelaksanaan SDG di peringkat PBT ini membolehkan mereka mengetahui standard antarabangsa dan seterusnya memperbaiki kekurangan yang sedia ada.

Beliau juga memuji komitmen URBANICE Malaysia dan beberapa majlis tempatan yang menjadi peneraju dalam penyediaan VLR yang membantu menganalisis cabaran sebenar di peringkat akar umbi.

Menurutnya, VLR secara langsung membolehkan pihak kerajaan merangka penyelesaian yang lebih bersasar dan bersesuaian dengan cabaran tempatan.

“Laporan ini akan menjadi sebahagian daripada indeks dan melalui laporan ini juga, keperluan bandar turut dinilai.
“Kita turut melihat parameter lain seperti kekerapan gangguan bekalan elektrik dan sebagainya supaya kita boleh membuat perbandingan.

“Jika kita kata kita sudah menjadi lebih baik, sejauh mana kita sebenarnya lebih baik, atau mengapa kita masih mengalami gangguan bekalan elektrik, semua ini sebenarnya sangat penting untuk pembangunan Sarawak,” jelasnya lagi.

Hadir sama, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), Desmond Douglas Jerukan, Ketua Pegawai Eksekutif URBANICE Malaysia Ts Norliza Hashim, Pengerusi MPP Tan Kai, Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali, dan Pengerusi MDS Stephen Wong Kie Yong. -EDISI UKAS
 


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 22 Aug 2025

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement