Pengurusan Risiko Bencana Alam Perlukan Pendekatan Menyeluruh
Posted on 08 Jul 2025
Source of News: UKAS
KUCHING: Pengurusan risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut petir (FLIRT) memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, terancang dan berpaksikan teknologi.
Menurut Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Desmond Douglas Jerukan, pengalaman peribadi beliau menguruskan insiden FLIRT di beberapa bahagian di Sarawak termasuk di Tubau, Sri Aman dan Bintulu, memperlihatkan keperluan mendesak untuk sistem pengurusan bencana yang lebih efektif, responsif dan bersandarkan kepada data serta teknologi masa nyata.
“Saya pernah menjadi pegawai kawasan di Tubau dan berdepan sendiri dengan insiden banjir di SK Bukit yang terletak di atas gunung.
“Di Sri Aman pula, kami perlu melaporkan status banjir setiap jam selama 24 jam kepada pihak berkuasa negeri dan Majlis Keselamatan Negara semasa kejadian pencairan besar pada tahun 2010,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Improving Flood Control in Stormwater Systems for Sarawak: Current Status, Challenges and Capabilities di Imperial Hotel, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak kini berada di fasa akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sedang dalam proses merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur digital dan pengukuhan daya tahan komuniti terhadap bencana.
“Seminar ini hadir tepat pada masanya kerana input dan cadangan yang dikemukakan di sini berpotensi dimasukkan dalam pelan pembangunan RMK13.
“Justeru, saya berharap perbincangan hari ini bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi turut menghasilkan penyelesaian praktikal yang boleh diterjemahkan kepada projek sebenar,” jelasnya.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk melihat isu kawalan banjir secara lebih holistik, bukan hanya sebagai cabaran teknikal tetapi juga sebagai aspek penting dalam pembangunan sosioekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Turut hadir ialah wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri berkaitan.
Seminar sehari anjuran bersama MPHLG dan rakan strategik itu memberi tumpuan kepada perbincangan berkenaan model hidrologi, inovasi teknologi dan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam meningkatkan keupayaan pengurusan banjir dan sistem saliran di Sarawak.-EDISI UKAS