News

 

Projek Perintis Pusat Sehenti Daftar Perniagaan

Posted on 21 Jul 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek perintis bagi memudahkan proses pendaftaran perniagaan di negeri ini bermula 1 Ogos depan hingga akhir Februari 2026 melibatkan dua daerah iaitu Sibu dan Kanowit.

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, projek perintis itu bertujuan mempercepat urusan tersebut menerusi satu pusat sehenti.

"Inisiatif ini adalah kerjasama strategik antara Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak di bawah Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Hii Chang Kee.

Ketika ini jelasnya, proses pendaftaran perniagaan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat Daerah, Jabatan Perbendaharaan Bahagian serta pihak berkuasa tempatan, yang menyumbang kepada tempoh pemprosesan yang panjang.

Namun katanya, menerusi projek perintis itu dengan membuka pusat sehenti, semua urusan berkaitan permohonan Pendaftaran Nama Perniagaan, Lesen Perniagaan dan Lesen Operasi akan diselaraskan oleh satu agensi iaitu pihak berkuasa tempatan masing-masing melalui penubuhan Pusat Pemudahcaraan.

"Bagi daerah Sibu, dua pihak berkuasa tempatan terlibat adalah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dengan operasi di Pusat Perkhidmatan Sarawak di UTC Sibu. 

"Manakala di Kanowit, urusan akan dijalankan di kaunter Majlis Daerah Kanowit," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah.

Menurutnya, antara pembaharuan utama adalah pengenalan satu borang komposit yang mengandungi semua maklumat yang diperlukan untuk ketiga-tiga jenis permohonan. 

"Pemohon tidak lagi perlu mengisi borang berasingan seperti sebelum ini.

"Tempoh pemprosesan bagi permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan juga dipendekkan secara signifikan," katanya. 

Dr Sim memberitahu, perniagaan berisiko rendah yang hanya memerlukan pendaftaran nama dan lesen perniagaan boleh memperoleh lesen dalam tempoh lima hari bekerja manakala yang memerlukan lesen operasi pula akan siap dalam 14 hari bekerja, dengan lawatan ke kaunter maksimum dua kali sahaja.

Katanya lagi, untuk perniagaan berisiko tinggi seperti penjualan gas, pusat hiburan dan pusat penjagaan, tempoh pemprosesan ditetapkan tidak melebihi 30 hari bekerja, berbanding lebih 60 hari sebelum ini.

Dr Sim menegaskan, usaha ini amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, meningkatkan kemudahan berurusan kepada usahawan serta memperkukuh daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan.

“Projek ini adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan Sarawak untuk memastikan pentadbiran yang lebih cekap, proses yang lebih telus dan persekitaran perniagaan yang lebih mesra pelabur,” tambahnya.

Beliau menambah, sekiranya projek perintis itu berjaya, ia dijangka akan diperluas ke daerah-daerah lain di seluruh Sarawak bagi memperkasa ekosistem keusahawanan negeri ini.



Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 22 Aug 2025

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement