News

 

TTPRS perintah tiga pemaju bayar pampasan kepada tiga pembeli rumah

Posted on 22 Oct 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) hari ini memerintahkan tiga pemaju membayar ganti rugi berjumlah RM101,069.81 kepada tiga pembeli atas kelewatan penyerahan milikan rumah.

Presiden TTPRS Trabawan Mandi berkata, dalam kes pertama tribunal mengarahkan syarikat pemaju membayar ganti rugi berjumlah RM49,393.97 kepada penuntut Muhamad Pauzee Sapili dan Nur Anila Maslan atas kelewatan itu.

Penuntut membeli sebuah rumah teres dua tingkat tepi di sini daripada sebuah syarikat dengan harga RM388,000 pada 12 Julai 2013.

Mengikut perjanjian, rumah tersebut sepatutnya diserahkan dalam tempoh 24 bulan selepas kontrak ditandatangani, namun pemaju gagal mematuhinya dan menyebabkan penuntut mengalami kerugian.

"Kes kedua ialah Mohd Awissolqani Abdul Razak selaku penuntut dan tribunal mengarahkan syarikat pemaju membayar ganti rugi RM23,390.64 kepadanya," ujarnya selepas prosiding kes di Kompleks Mahkamah Sibu, hari ini.  

Mohd Awissolqani menandatangani perjanjian jual beli dengan sebuah syarikat pada 21 Mei 2020 untuk membeli sebuah rumah teres satu tingkat di sini dengan harga RM310,000.

Permit menduduki (OP) bagi rumah tersebut hanya dikeluarkan pada 13 Februari 2025 dan pemaju menyerahkan rumah pada 21 Februari 2025, lewat daripada tempoh yang dipersetujui dalam kontrak.

Sementara untuk kes terakhir, pemaju terbabit diarah membayar sejumlah RM28,285.20 kepada penuntut Zurkarnain Jemat.

Penuntut menandatangani perjanjian jual beli dengan sebuah syarikat pada 3 September 2020 untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat di sini dengan harga RM398,000.

Menurut Trabawan lagi, dua lagi kes ditangguhkan atas kegagalan menghantar notis bagi menghadiri prosiding selepas pihak terbabit menukar alamat tanpa memaklumkan kepada pihak tribunal.

Beliau juga memberitahu, kedua-dua kes itu akan didengar semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Kesemua kes hari ini melibatkan kelewatan pihak pemaju menyiapkan rumah yang dibeli oleh penuntut," tambah beliau.

Ketika prosiding hari ini, Trabawan dibantu oleh dua ahli panel iaitu Dato Alhadi Ibrahim dan Mohammad Abdul Aziz Ariffin.



Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 23 Oct 2025

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement