KUCHING, 9 Dis: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) memperkenalkan tiga garis panduan baharu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh berkata garis panduan itu menetapkan standard kerja lebih jelas, meningkatkan akauntabiliti dan memperkemas operasi PBT.
“Tiga garis panduan berkenaan merangkumi Garis Panduan Kualiti Pemotongan Rumput oleh PBT Sarawak, Garis Panduan Pemasangan Fiber to the Drain (FTTD) serta Garis Panduan Pembersihan Jalan dan Longkang yang Berkesan.
“Garis panduan FTTD menyediakan kaedah pemasangan gentian optik secara selamat dan sistematik melalui sistem saliran, sekali gus melindungi aset saliran serta menyokong pembangunan infrastruktur digital Sarawak secara teratur,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MPHLG 2025.
Beliau berkata pelancaran garis panduan itu merupakan langkah strategik memperkasa sistem penyampaian awam, termasuk penetapan standard pemotongan rumput dan penambahbaikan prosedur pembersihan jalan serta longkang bagi meningkatkan kebersihan dan mengurangkan risiko banjir kilat.
“Ketiga-tiga garis panduan tersebut berteraskan prinsip SGS 3R, iaitu Revisit, Rethink dan Recharge,” ujarnya.
Elizabeth menegaskan semua PBT perlu melaksanakannya secara menyeluruh bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang cekap, berkesan dan seiring aspirasi pembangunan Sarawak. -TVS
