KUCHING: Sarawak terus melakar pencapaian luar biasa menerusi kemajuan dalam sektor kesihatan, penyelidikan serta usaha pembinaan negeri yang semakin utuh di persada antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, jika sebelum ini Sarawak pernah dipandang rendah oleh orang luar, kini pada tahun 2025 negeri ini dilihat oleh seluruh negara dan dunia sebagai sebuah negeri yang terus maju dan pesat membangun.
"Ini bukan kerana Premier Abang Johari (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sahaja, bukan kerana seorang dua pegawai, sebaliknya hasil kerja keras, pengorbanan dan keringat semua anak Sarawak termasuk kaunselor dan penjawat awam," katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG).
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah MPHLG 2025 di sebuah hotel di Kuching malam Selasa.
Hadir sama ialah dua Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil dan Datuk Michael Tiang, Setiausaha Tetap Kementerian Datu Elizabeth Loh, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai serta para penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari seluruh Sarawak.
Tegas Dr Sim, pencapaian Sarawak kini jauh mengatasi banyak pencapaian nasional yang digelar 'Jungle of Borneo Standard' iaitu satu pencapaian melebihi piawaian kebangsaan.
"Hari ini, Hospital Umum Kuching (HUS) telah menjadi sorotan berita utama susulan pencapaian luar biasa mereka membuat pembedahan dalam rahim pertama di Malaysia.
"Ia berkisar kejayaan doktor kita di HUS membuat pembedahan bayi berusia 26 minggu yang selamat dan pertama dilakukan di Malaysia hingga dinobatkan sebagai penyelidikan bertaraf dunia," katanya.
Beliau menambah, ia bukan sekadar satu kejayaan klinikal, malah lambang keyakinan terhadap keupayaan doktor dan pasukan perubatan Sarawak yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sarawak juga kini aktif dalam pelbagai kajian klinikal bertaraf antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi penyelidikan dan syarikat farmaseutikal global sekali gus membuka ruang pemindahan teknologi dan kepakaran.
HUS katanya, telah diiktiraf sebagai antara hospital penyelidikan terkemuka di Malaysia dan dipilih sebagai hospital pertama di Asia Pasifik bagi pelaksanaan ujian klinikal ubat baharu berisiko tinggi oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa.
"Malah baru-baru ini, sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa bernilai AS$3.8 bilion datang melawat Sarawak dan bukan Kuala Lumpur kerana mereka yakin dan mahu bekerjasama dengan HUS.
Dr Sim berkata, ini bukti Sarawak berada dalam radar global dengan pelbagai penyelidikan telah diiktiraf dan Sarawak bukan lagi negeri Borneo yang jauh dari perkembangan dunia moden.
"Ramai di luar Sarawak melihat huruf 'K' dalam kad pengenalan kita sebagai 'Kaya'...namun saya percaya 'K' itu sebenarnya bermaksud 'Kita Dihormati'.
"Kehormatan itu datang kerana kita bekerja keras, menjunjung integriti dan membangunkan negeri dengan cara kita sendiri," tegasnya.
Beliau percaya bahawa kejayaan itu hasil dasar kerajaan negeri diketuai Premier Abang Johari yang menekankan pembangunan modal insan, pemerkasaan sistem kesihatan dan pelaburan strategik dalam penyelidikan.
“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, semangat kepakaran dan komitmen warga Sarawak dipelopori Premier Abang Johari tidak pernah luntur,” katanya.