HPA 2025 Platform Perkukuh Budaya Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Penganjuran Hari Perkhidmatan Awam Sarawak (HPA) 2025 disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh budaya kecemerlangan, inovasi serta tadbir urus berintegriti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Majlis Sambutan HPA Sarawak 2025, Datu Hii Chang Kee berkata, majlis apresiasi diadakan bertujuan menghargai komitmen, dedikasi dan kerjasama padu semua pihak yang terlibat dalam menjayakan HPA 2025 yang berlangsung dengan jayanya pada 20 November lalu.
“Majlis apresiasi ini diadakan khusus bagi menghargai segala komitmen, dedikasi dan kerjasama padu yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan penganjuran HPA 2025,” katanya ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di sini pada Isnin.
Hadir menyempurnakan majlis apresiasi tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta Ketua-ketua Jabatan.
Datu Hii Chang Kee menambah, HPA 2025 yang bertemakan 'Leading with Excellence: Sarawak Civil Service Path Forward' berteraskan prinsip 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge, sebagai panduan menilai semula pendekatan sedia ada, mentransformasikan pemikiran serta menyuntik semangat baharu dalam memastikan perkhidmatan awam kekal relevan dan efektif.
“HPA 2025 turut melibatkan pameran daripada 17 agensi Perkhidmatan Awam Sarawak merangkumi unit di bawah Jabatan Premier Sarawak, kementerian serta sebuah syarikat berkaitan kerajaan, sekali gus mencerminkan komitmen seluruh jentera kerajaan dalam mengetengahkan inovasi dan inisiatif strategik,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025 serta Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Sarawak dan Persekutuan yang disifatkan sebagai pemangkin kepada penambahbaikan tadbir urus dan budaya kerja cemerlang.-EDISI UKAS