Enam PBT Sarawak Terima Pengiktirafan Bandar Calon bagi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak UNICEF
Posted on 08 Feb 2026
Source of News: Edisi UKAS
KUCHING: Enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak kini diiktiraf secara rasmi sebagai Bandar Calon bagi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu majlis di sini, pada Ahad.
Antara yang menerima pengiktirafan itu ialah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terlebih dahulu menerima pengiktirafan sama pada Disember 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, daripada lebih 200 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Malaysia, hanya 11 dikenal pasti sebagai calon Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak UNICEF dan tujuh daripadanya adalah dari Sarawak.
“Tahniah kepada semua anak Sarawak. Tujuh daripada 11 ini merupakan satu permulaan.
“Menerusi inisiatif ini, kita tidak mahu Sarawak sekadar memenuhi piawaian tempatan, sebaliknya menyasarkan piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pengiktirafan Bandar Calon Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak 2026 di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim turut menyatakan keyakinan bahawa Sarawak berupaya melangkaui piawaian antarabangsa dengan pendekatan tersendiri.
Menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian pentadbiran tempatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada agenda besar pembinaan negeri ini menuju negeri maju.
Dalam majlis ini juga diadakan upacara menandatangani plak pengiktirafan sebagai Bandar Calon bagi CFCI enam PBT serta penyerahan CFCI Action Plan oleh Datuk Bandar dan Pengerusi Majlis kepada Presiden dan wakil Ahli Majlis Kanak-Kanak.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Wakil UNICEF Malaysia Sanja Saranovic.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang