Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 Di BCCK Pada 17 Februari Ini
Posted on 11 Feb 2026
Source of News: Edisi UKAS
KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak Tahun 2026 akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 17 Februari ini bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, sambutan tahunan itu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut beliau, penganjuran sambutan berkenaan merupakan platform penting dalam memupuk perpaduan, saling menghormati serta kefahaman antara komuniti berbilang kaum di Sarawak.
“Sambutan tahunan ini berperanan sebagai platform penting untuk memupuk perpaduan, saling menghormati serta kefahaman dalam kalangan komuniti berbilang kaum di Sarawak.
"Ia mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kepada kekuatan dan kestabilan negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan program tersebut di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan tersebut.
Tambah beliau, sambutan terbuka itu mencerminkan nilai perkongsian, kebersamaan serta saling menghargai yang menjadi teras kepada keharmonian sosial unik di Sarawak.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Muhammad Ramzani