News

 

Jepak jadi lokasi rintis perumahan golongan M40 Sarawak

Posted on 13 Feb 2026
Source of News: TVS

KUCHING, 13 Feb: Kerajaan Sarawak mengenal pasti Jepak di Bintulu sebagai lokasi projek perintis bagi pembangunan perumahan khusus untuk golongan M40 bagi menangani cabaran pemilikan kediaman dalam kalangan kumpulan tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bertujuan merapatkan jurang antara rumah mampu milik B40 dan hartanah pasaran swasta yang kini mencecah harga terlalu tinggi.

“Sebab itu kita fikir untuk bangunkan rumah antara RM300,000 hingga RM550,000, dalam kemampuan pinjaman berdasarkan gaji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa pasaran semasa menyaksikan golongan M40 tersepit di antara skim bantuan kerajaan dan harga kediaman mewah yang sukar dicapai.

“Sekarang ini M40 berada di tengah-tengah. Kalau turun bawah, mereka tidak layak. Kalau naik atas, terlalu mahal sampai RM600,000. Jadi, di mana tempat mereka?,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan Jepak adalah bertepatan dengan kedudukan strategik Bintulu sebagai pusat perindustrian yang pesat, namun model tersebut akan diperluas ke bahagian lain sekiranya berjaya.

“Saya nak cuba dekat Jepak dahulu. Lepas itu kita akan kembangkan ke kawasan lain. Mesti ada dasar jangka panjang supaya semua lapisan masyarakat dapat diliputi secara inklusif,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu pembangunan itu akan turut mengintegrasikan sistem pengangkutan awam dan rangkaian jalan raya bagi mewujudkan kawasan pinggir bandar yang efisien.

Pembangunan ini juga akan memanfaatkan pembukaan tanah baharu melalui pembinaan jalan penghubung Buntal-Bako yang dijangka mampu menampung tambahan 500 hingga 1,000 unit rumah lagi.

Mengenai aspek pembiayaan, Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal negeri kekal kukuh bagi menyokong keperluan subsidi projek tersebut.

“Kita rancang dahulu. Asalkan kewangan mencukupi dan ada penjajaran subsidi yang baik, kita laksanakan secara berperingkat. Yang penting kita mesti ada perancangan jangka panjang supaya pembangunan perumahan ini seimbang dan inklusif,” katanya. – TVS



Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 16 Feb 2026

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement