News

 

Penganjuran Rumah Terbuka Perkukuh Nilai Perpaduan, Cerminkan Identiti Sarawak

Posted on 17 Feb 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Penganjuran rumah terbuka perayaan utama anjuran Kerajaan Sarawak terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta menyemai nilai pembinaan bangsa dalam kalangan rakyat negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai peringkat negeri mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keterangkuman yang menjadi teras kekuatan Sarawak.

“Ini adalah Sarawak, kita dapat lihat orang tua dan muda, Cina, Iban serta Melayu datang bersama-sama. Ramai hadir dengan pakaian tradisi masing-masing dan inilah keindahan Sarawak.

“Rumah terbuka bermaksud terbuka kepada semua tanpa perlu jemputan kerana masyarakat benar-benar dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa.

Hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Datuk Amar Profesor Dr. Sim menambah, budaya tersebut merupakan asas penting pembinaan Sarawak yang mana rakyat bersama tanpa mengira latar belakang untuk menjadikan negeri ini tempat yang lebih baik.

Menurutnya, dalam keadaan banyak tempat di dunia berdepan perpecahan, Sarawak menjadi contoh bagaimana masyarakat mampu bergerak maju bersama melalui keharmonian. 

Mengulas mengenai sambutan rumah terbuka berkenaan, beliau menjangkakan kira-kira 5,000 pengunjung hadir berdasarkan rekod tahun sebelumnya dengan jumlah berpotensi meningkat berikutan cuaca baik.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan- Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah bersama isteri Datin Amar Doreen Mayang, barisan Kabinet Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George S. Embie


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 20 Feb 2026

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement