News

 

Tiang kecewa terhadap kegagalan pemaju projek perumahan terbengkalai di Kemuyang Heights

Posted on 16 Mar 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pemaju projek perumahan terbengkalai di Kemuyang Heights di sini menunjukkan sebarang kemajuan walaupun beberapa komitmen telah diberikan sebelum ini.

Beliau berkata, lawatan tapak yang dilakukan hari ini mendapati tiada sebarang kerja dilaksanakan sejak lawatan terakhirnya pada Ogos tahun lalu meskipun beberapa perbincangan telah diadakan termasuk mesyuarat susulan di kementeriannya minggu lalu.

“Saya amat tidak berpuas hati dan kecewa kerana sejak lawatan saya yang lalu, tiada sebarang perkembangan di tapak projek ini.

“Jika pemaju gagal menunaikan komitmen dan tidak boleh dipercayai, kita terpaksa mempertimbangkan alternatif lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek berkenaan di sini.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan projek berkenaan dapat disiapkan demi kepentingan 57 pembeli rumah yang terjejas.

Beliau berkata, sebahagian pembeli terpaksa mendiami unit rumah yang belum siap sepenuhnya tanpa bekalan air dan elektrik, selain masih perlu menanggung bayaran ansuran pinjaman bank bulanan melebihi RM1,000.

“Pembeli-pembeli ini berada dalam keadaan sukar kerana mereka tiada pilihan lain.

"Justeru kerajaan perlu campur tangan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.

Tiang berkata, pihak kementerian turut meneliti tindakan yang boleh diambil di bawah Ordinan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 bagi menangani isu berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak lagi akan menerima sebarang jaminan secara lisan daripada pemaju.

“Saya hanya mahu melihat tindakan.

"Tidak perlu lagi janji atau kata-kata,” tegasnya.

Semasa lawatan tersebut, pemaju memaklumkan mereka masih dalam usaha mencari kontraktor bagi melaksanakan kerja berkaitan Kelulusan Teknikal Lampu Jalan (TASIL) yang diperlukan sebelum projek itu boleh memperoleh Sijil Jalan.

Menurut Tiang, hanya selepas Sijil Jalan diperoleh barulah pemaju boleh mengemukakan permohonan bagi bekalan elektrik dan air, sebelum seterusnya mendapatkan Permit Menduduki (OP).

Bagaimanapun, beliau mengarahkan pemaju supaya menyiapkan perkara berkenaan dalam tempoh sebulan walaupun pemaju sebelum itu memaklumkan memerlukan masa tiga bulan.

“Kelewatan hampir empat tahun tidak boleh diterima dan kementerian mahu melihat kemajuan yang nyata serta segera,” ujarnya.

Tiang berkata, kementerian juga terus menyiarkan senarai projek perumahan terbengkalai di Sarawak menerusi laman sesawang rasmi bagi memastikan ketelusan serta meningkatkan akauntabiliti dalam kalangan pemaju.

Menurutnya, walaupun terdapat pemaju yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, mangsa sebenar dalam situasi berkenaan adalah pembeli rumah.

“Mereka menggunakan simpanan seumur hidup dan mengambil pinjaman bank untuk memiliki rumah namun akhirnya terpaksa menanggung kesukaran akibat kegagalan pemaju melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Tiang memaklumkan pasukan petugas khas kerajaan negeri berjaya menyelesaikan isu berkaitan projek Salim One Golden Sun Fasa 1 yang kini telah memperoleh OP.

“Ini membolehkan pembeli rumah akhirnya berpindah ke kediaman masing-masing seperti yang diharapkan,” katanya.

 


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 17 Mar 2026

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement