SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kini sedang bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) bagi menangani isu kerosakan jalan di Flat Blok M dan O di Sibu Jaya secara berkesan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDLBS menegaskan bahawa jalan rosak di Flat Blok M dan O di Sibu Jaya adalah di bawah bidang kuasa HDC dan pihaknya mengambil maklum tindakan penduduk yang mengumpul dana sendiri bagi membaiki jalan berkenaan demi keselamatan pengguna.
Menurut kenyataan itu, MDLBS dan menghargai keprihatinan serta inisiatif komuniti setempat dalam memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk terus terpelihara.
Bagaimanapun, majlis itu menegaskan sebarang kerja pembaikan infrastruktur perlu dilaksanakan secara terancang dan melalui saluran yang betul bagi menjamin kualiti serta keselamatan jangka panjang.
MDLBS turut memaklumkan bahawa pihaknya kini bekerjasama rapat dengan HDC bagi menyelaras tindakan susulan untuk menangani isu kerosakan jalan tersebut secara berkesan.
“Walaupun jalan berkenaan bukan di bawah bidang kuasa MDLBS, pihak majlis akan terus memainkan peranan membantu menyelaras dengan agensi berkaitan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MDLBS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk agensi berkaitan serta komuniti setempat dalam mencari penyelesaian menyeluruh dan berpanjangan terhadap isu berkenaan.
Isu jalan rosak di kawasan tersebut sebelum ini mendapat perhatian apabila penduduk mengambil inisiatif sendiri menjalankan kerja pembaikan secara gotong-royong susulan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Penduduk mendakwa kerosakan jalan berkenaan dipercayai berpunca daripada kerja menaik taraf sistem perpaipan yang dilaksanakan di kawasan perumahan itu sebelum ini.
Akibat kerja berkenaan, permukaan jalan menjadi tidak rata dan dipenuhi lubang sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna yang melalui laluan tersebut.
Keadaan bertambah membimbangkan apabila lubang berkenaan sering dipenuhi air ketika hujan sehingga menyukarkan pemandu dan penunggang motosikal mengenal pasti keadaan sebenar jalan.
Seorang penduduk Douglas Ningkan berkata, kekecewaan terhadap keadaan jalan yang masih belum dibaiki mendorong mereka mengambil langkah sendiri demi keselamatan bersama.
“Kami sepakat mengumpul wang secara sukarela. Walaupun jumlahnya tidak besar, sekurang-kurangnya kami dapat menutup lubang yang paling berbahaya,” katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong berkenaan.