KUCHING: Dua projek perumahan yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit di Bahagian Kuching dan Betong akhirnya berjaya disiapkan selepas mengalami kelewatan lebih dua tahun daripada jadual asal.
Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, projek terlibat ialah Taman Fitriyyah di Kuching dan Botanic Garden 2 di Betong.
Menurut kenyataan itu, projek Taman Fitriyyah yang dibangunkan oleh Twin Revenue Sdn Bhd terletak di Lot 1954, Blok 17, Daerah Tanah Salak, Kuching dan merangkumi 54 unit rumah teres satu dan dua tingkat.
Sepanjang pelaksanaan projek, pelbagai isu tertunggak berjaya ditangani melalui pendekatan proaktif melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, termasuk mesyuarat penyelarasan dan pemeriksaan tapak bersama yang diketuai MPHLG.
“Projek ini telah menerima Permit Menduduki (OP) pada 18 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, projek Botanic Garden 2 yang dibangunkan oleh Green Avenue Resources Sdn Bhd di Bahagian Betong melibatkan dua fasa dengan keseluruhan 54 unit rumah teres satu tingkat.
Kelewatan projek tersebut sebelum ini menjejaskan 12 pembeli rumah, namun hasil pemantauan rapi dan penglibatan aktif MPHLG, khususnya Fasa 1 telah berjaya disiapkan dengan OP dikeluarkan pada 5 Februari 2026.
MPHLG menjelaskan, kejayaan menyiapkan kedua-dua projek itu mencerminkan keberkesanan usaha penyelarasan antara kementerian, pemaju, pihak berkuasa tempatan serta agensi teknikal dalam menangani isu projek perumahan tertangguh.
Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan penghargaan kepada pembeli rumah yang terjejas atas kesabaran, pemahaman dan kerjasama sepanjang tempoh kelewatan projek.
Kerajaan Sarawak, katanya, akan terus komited memastikan projek perumahan dapat disiapkan dan diserahkan mengikut perancangan demi melindungi kepentingan rakyat.