News

 

Inovasi Perlu Beri Impak Sebenar Kepada Rakyat, Bukan Sekadar Raih Trofi

Posted on 02 Jul 2026
Source of News: Edisi UKAS

 
KUCHING: Inovasi dalam sektor awam perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan tidak sekadar menjadi pencapaian untuk dipamerkan menerusi trofi atau laporan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, nilai sebenar sesuatu inovasi bukan terletak pada pengiktirafan yang diterima, sebaliknya diukur berdasarkan impaknya terhadap kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, inovasi tidak semestinya bermaksud mencipta sesuatu yang baharu, malah boleh dilaksanakan menerusi penambahbaikan terhadap sistem atau perkhidmatan sedia ada demi memberikan penyampaian yang lebih berkesan kepada rakyat.

“Jika inovasi tidak memberi impak kepada manusia, maka ia hanya untuk trofi. Apa yang penting ialah sama ada inovasi yang kita hasilkan benar-benar membawa perubahan kepada komuniti dan rakyat yang kita berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan dan Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) di sini, pada Rabu.

Datuk Amar Dr Sim turut menggesa agar setiap inovasi yang berjaya tidak hanya kekal sebagai projek atau dokumentasi semata-mata, sebaliknya diperluaskan dan diterima pakai oleh agensi lain bagi memaksimumkan manfaat kepada rakyat.

Katanya, tema konvensyen iaitu ‘Menginovasikan Perkhidmatan Awam, Mentransformasikan Komuniti’ mencerminkan kepentingan kerjasama rentas agensi kerana idea bernas boleh lahir daripada mana-mana jabatan dan dikembangkan untuk menyelesaikan cabaran bersama.

Beliau berkata, dalam usaha Sarawak menuju pembangunan menjelang 2030, penjawat awam memainkan peranan penting menerusi pelaksanaan pendigitalan, pembangunan bandar pintar, reformasi organisasi serta pengukuhan syarikat milik kerajaan negeri.

Menurut beliau, keyakinan yang semakin meningkat terhadap Sarawak hari ini merupakan hasil usaha kolektif semua pihak termasuk penjawat awam, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan rakyat.

Mengambil contoh kejayaan Pusat Jantung Sarawak yang telah merawat lebih 300,000 pesakit dalam tempoh 25 tahun, beliau berkata kejayaan sebenar inovasi diukur melalui peningkatan kualiti hidup, penyelamatan nyawa dan sumbangan kepada pembangunan negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua peserta KIK supaya terus menghasilkan inovasi yang mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Elizabeth Loh, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Ramzi Abdillah, Timbalan Setiausaha Tetap merangkap Ketua Pegawai Transformasi (CTO) kementerian, Desmond Douglas Jerukan, ketua-ketua jabatan, panel penilai serta peserta Konvensyen KIK 2026.-EDISI UKAS
 


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 31 Jul 2026

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement