News

 

Jasa Dikenang, Kebajikan Waris Terbela, Kerajaan Sarawak Salur RM500,000

Posted on 16 Oct 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Jasa dan pengorbanan lima petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu terus dikenang apabila Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan keseluruhan RM500,000 kepada keluarga mangsa.

Bukan sekadar bantuan kewangan, keprihatinan itu turut diterjemahkan menerusi penajaan pendidikan Yayasan Sarawak bagi membantu memastikan masa depan anak-anak mangsa terus terbela.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap waris keluarga dalam satu majlis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Jumaat.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, beliau berkata, sumbangan itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk meringankan beban waris, meskipun kehilangan insan tersayang tidak mampu diganti dengan sebarang nilai wang ringgit.

“Sepertimana yang telah saya janjikan, kita memberi sedikit bantuan kepada mangsa. Tetapi kehilangan ahli keluarga adalah lebih daripada itu dan tidak dapat dinilai dengan duit. Namun, sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka,” katanya.

Menurutnya, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen yang telah dinyatakan sebelum ini bagi memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung.

Pada majlis sama, Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak turut disampaikan sebagai sokongan terhadap kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa, sekali gus membantu meringankan tanggungan keluarga dalam jangka panjang.

Lima waris yang menerima sumbangan ialah Nor Izzati Syamimi Suhaimi, Larry Bilong Kule, Mohd Faiz Ab Malek, John Then Hua Ken dan Stephanie Essah Incham.

Mereka masing-masing merupakan pasangan kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, mendiang Jessie Paya Jok, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Debra Moset dan mendiang Alexson Adit Henry.

Sebagai penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, kelima-lima mangsa turut dianugerahkan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2026.

Pengiktirafan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap khidmat bakti mereka dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie


Copyright © 2025 Ministry of Public Health, Housing and Local Government Sarawak
Last Updated On 17 Oct 2026

Operating Hour

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement