Projek RTB Kuching Komitmen Bersama Tangani Banjir, Lindungi Hampir 500,000 Ribu Penduduk
Posted on 20 Oct 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memperkukuh komitmen bersama dalam mendepani cabaran perubahan iklim global menerusi pelaksanaan projek mega Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching Fasa 2 bernilai RM2.48 bilion.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian berkata, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama 2026 itu merupakan pelaburan penting bagi memperkukuh perlindungan banjir di Kuching.
“Projek RTB ini merupakan pelaburan mercu tanda dalam perlindungan banjir di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kuching, Selasa.
Mengulas lanjut ujarnya, apabila siap sepenuhnya kelak, pembinaan pintasan Sungai Sarawak sepanjang enam kilometer itu bakal memberi perlindungan langsung kepada 470,233 penduduk di samping merangkumi keluasan kawasan seluas 47,264 hektar di sekitar bandar raya ini.
Pelaksanaan fizikal projek itu dijadualkan berlangsung dari 2027 hingga 2033 dengan sesi Penilaian Nilai (Value Assessment, VA) dan Kejuruteraan Nilai (Value Engineering, VE) dijadual diadakan pada awal November 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof atas usaha mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi merealisasikan projek berskala besar itu.
Tegas beliau, Kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan mengikut jadual demi memperkukuh perlindungan banjir dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie