Sarawak Bina 254 Stesen Telemetri Baharu, Perkukuh Amaran Banjir
Posted on 20 Oct 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Sebanyak 254 stesen telemetri baharu akan dibina di Sarawak menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 2 dan Fasa 3 bagi memperkukuh sistem amaran banjir di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, selain 400 stesen sedia ada di seluruh negeri, sebanyak 254 stesen telemetri baharu akan dibina dan 279 stesen sedia ada dinaik taraf.
“Inisiatif itu melibatkan pelaburan keseluruhan RM207.99 juta di Sarawak dan akan meningkatkan kapasiti pemantauan hidrologi negeri ini dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan akan meningkatkan kapasiti pemantauan hidrologi Sarawak bagi menyokong usaha ramalan dan amaran banjir.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie