KUCHING: Usaha pencegahan dan pendidikan keselamatan kebakaran di Sarawak terus diberi perhatian susulan peningkatan lebih dua kali ganda purata kes kebakaran terbuka dan hutan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, sebanyak 2,870 program pendidikan dan kesedaran keselamatan kebakaran telah dilaksanakan di seluruh negeri dari Januari hingga September 2026, melibatkan 177,506 peserta.
Menurut beliau, usaha berkenaan penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko kebakaran, selain memperkukuh langkah pencegahan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Dr. Sim memaklumkan sebanyak 1,675 kes kebakaran terbuka dan hutan direkodkan dari Januari hingga September tahun ini, melibatkan kawasan seluas 1,697.75 hektar di seluruh Sarawak.
Katanya, purata kes kebakaran terbuka dan hutan meningkat kepada 186 kes sebulan berbanding 85 kes sebulan pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima sebanyak 7,374 panggilan kecemasan bagi tempoh 1 Januari hingga 27 September 2026.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,465 panggilan melibatkan insiden kebakaran, 4,874 operasi menyelamat dan 28 kes perkhidmatan khas.
“Operasi yang dilaksanakan turut berjaya menyelamatkan aset bernilai RM443.27 juta,” katanya.
Peningkatan kes kebakaran itu memperlihatkan kepentingan memperkukuh kerjasama antara agensi penyelamat dan masyarakat dalam membudayakan amalan pencegahan kebakaran.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie