Pada 11 November 2025 (Selasa), seramai 30 orang delegasi daripada Kerajaan Tempatan Negeri Perak telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG). Delegasi ini diketuai oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, selaku Ketua Delegasi.
Turut hadir dalam delegasi tersebut ialah YBrs. Puan Halizah binti Sipun (Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak), YBrs. Encik Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria (Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak), YBhg. Tuan Zamakshari bin Hanipah (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh), tujuh (7) orang Yang Dipertua Majlis, Setiausaha-Setiausaha Perbandaran dan Majlis Daerah, serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mempelajari kaedah dan pelaksanaan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching (2021–2025) sebagai rujukan dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan berimpak tinggi.
Hari pertama lawatan dimulakan dengan sesi taklimat di MPHLG yang merangkumi tiga pembentangan utama, iaitu:
1. "Pengenalan Kepada MPHLG serta Halatuju Bandar Pintar” oleh Ts. Tan Chee Kang, Ketua Seksyen Khidmat Pengurusan MPHLG;
2. "Pelaksanaan Bandar Pintar DBKU” oleh Puan Rolianie Stacia anak Peron, wakil daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU); dan
3. “Accelerating Miri Smart City” yang disampaikan secara atas talian oleh Puan Siti Suhana binti Rosli, wakil daripada Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Sesi lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Kementerian kepada delegasi Kerajaan Tempatan Negeri Perak. Diharapkan sesi perkongsian ilmu, perbincangan, dan soal jawab sepanjang lawatan ini memberikan manfaat bersama serta membantu mencapai objektif utama lawatan yang telah dirancang.