Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Sarawak Kepada Waris Mangsa Nahas Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara Di Long Lellang
KERAJAAN SARAWAK SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA WARIS MANGSA NAHAS HELIKOPTER FDS DI LONG LELLANG
KUCHING, 16 Oktober 2026 – Kerajaan Sarawak menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada setiap keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service atau FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan petugas yang terkorban dalam kejadian pada 8 September lalu.
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Seramai lima waris menerima sumbangan berkenaan, iaitu Puan Nor Izzati Syamimi binti Suhaimi, Encik Larry Bilong Kule, Encik Mohd Faiz bin Ab Malek, Encik John Then Hua Ken dan Puan Stephanie Essah anak Incham.
Mereka merupakan pasangan kepada lima mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq bin Bee Sham, mendiang Jessie Paya Jok, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah binti Kamarudin, mendiang Debra anak Moset dan mendiang Alexson Adit anak Henry.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban keluarga mangsa, di samping memberikan sokongan kepada waris yang kehilangan insan tersayang.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha membantu menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa.
Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, kelima-lima mangsa turut disenaraikan sebagai penerima Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2026.
Majlis yang berlangsung secara ringkas itu turut dihadiri dif-dif kenamaan serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.